Tempatan Utama

Himpunan ‘Tangkap Shafie Apdal’ bakal diadakan di Sabah Julai ini

PUTRAJAYA: Satu perhimpunan yang dikenali sebagai ‘Tangkap Shafie Apdal’ dijadualkan berlangsung di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu pada 4 dan 5 Julai depan.

Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Zulkarnain Mahdar berkata, himpunan yang digerakkan gabungan pertubuhan belia dan mahasiswa dari seluruh Sabah itu bertujuan menyuarakan aspirasi golongan muda berkaitan isu integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai penganjuran program tersebut oleh wakil belia dan mahasiswa yang hadir mendapatkan sokongan terhadap himpunan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pekarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, pada Khamis.

Katanya, pihak penganjur dijangka mengeluarkan maklumat lanjut mengenai objektif, pengisian dan perjalanan program dalam masa terdekat.

Zulkarnain turut mengajak orang ramai, khususnya golongan belia, untuk menyertai himpunan itu yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 anak muda dari seluruh Sabah.

Menurut beliau, perhimpunan berkenaan berpotensi menjadi antara himpunan awam terbesar yang dianjurkan oleh pertubuhan belia dan mahasiswa di Sabah tahun ini.

Sumber SabahNews

Leave feedback about this

  • Rating