
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi tumpuan khas untuk menangani isu tiga serangkai melibatkan jalan raya, air dan elektrik di Sabah pada tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, isu berkenaan menjadi keutamaan kerajaan ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Menurutnya, Belanjawan Negeri 2026 meneruskan matlamat meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.
“Kita akan meneruskan program bagi meningkatkan kesejahteraan golongan kurang bernasib baik selain pembangunan pendidikan dan modal insan pada tahun depan,” katanya.
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun membentangkan Belanjawan Negeri yang menunjukkan lebihan dengan perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil RM6.430 bilion untuk tahun hadapan.
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, yang bertanggungjawab terhadap jalan raya, bekalan air dan elektrik menerima peruntukan RM1.122 bilion untuk pembangunan tahun depan.


Leave feedback about this