Tempatan Utama

Hajiji bangga pencapaian anak Sabah terima anugerah kepimpinan ASEAN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berbangga dengan pencapaian anak jati Sabah, Gerald Wong yang dipilih sebagai penerima The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.

Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan anak Sabah untuk bersaing serta memimpin inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.

“Saya merakamkan tahniah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Kejayaan saudara Gerald wajar dijadikan contoh kepada golongan belia Sabah bahawa usaha gigih dan komitmen membangunkan masyarakat mampu menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika menerima kunjungan Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.

Gerald yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou dipilih sebagai satu daripada 20 penerima anugerah mewakili 10 negara ASEAN, sekali gus meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh pembangunan luar bandar serantau yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam usaha pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.

Mengulas pengiktirafan diterima, Gerald berkata, anugerah itu lahir daripada usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pertanian moden.

 Hajiji menerima cendera kenangan semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya.
KUNJUNGAN: Hajiji menerima cendera kenangan semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya.

“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik dan sistem pertanian berteknologi, disokong latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti bagi membantu menjana pendapatan sampingan secara mampan.

“Farm Tokou kini beroperasi di Telupid dan Penampang, selain membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah sejak 2023 termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Papar,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu bukan milik individu semata-mata, sebaliknya hasil komitmen bersama komuniti luar bandar yang terbuka menerima perubahan dan inovasi dalam sektor pertanian.

“Anugerah ini milik semua komuniti yang percaya pertanian moden mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating