
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengajak rakyat berbilang kaum di negeri ini terus mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan perpaduan yang sedia terjalin.
Katanya, dalam kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan, perpaduan dan persefahaman dikalangan rakyat pelbagai suku kaum dan kepercayaan agama perlu terus ditingkatkan.
Beliau berkata, ini penting bagi memastikan Sabah terus mengecapi kemajuan dan pembangunan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Hajiji bersama jemputan lain melaungkan “Merdeka” pada Karnival Sukan “Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023” di Padang Pekan Tuaran, Tuaran, hari ini.
“Rakyat perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi oleh negara dan negeri Sabah. Sebab itu pada tahun ini selain menyambut Hari Kebangsaan, kita juga akan menyambut Hari Sabah yang menandakan hari kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British yang akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini”, katanya ketika merasmikan Karnival Sukan “Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023” di Padang Pekan Tuaran hari ini.
Hajiji berkata, semangat bersatu padu, setiakawan dan hormat menghormati mampu mewujudkan suasana harmoni, sejahtera dan bersatu padu.
Beliau berharap karnival sukan yang dianjurkan oleh Lions Club Tuaran bukan sahaja memupuk budaya sukan malah menyemarakkan semangat patriotik dan kemerdekaan di kalangan rakyat.

Hajiji menyampaikan hadiah kepada pemenang acara larian sempena Karnival Sukan “Lions Tuaran Merdeka Run & Cycling 2023” di Padang Pekan Tuaran, Tuaran, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya dan Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh.


Leave feedback about this