Tempatan Utama

“Dua Lelaki Curi Kereta, Ditahan Kurang 24 Jam”

KENINGAU: Tindakan dua lelaki mencuri sebuah kereta kononnya untuk kegunaan harian membawa padah apabila mereka diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang Sabtu di Kampung Bulu Silou, sebuah kereta berwarna coklat dilaporkan hilang ketika enjin kenderaan itu dipanaskan di tepi rumah pemiliknya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, sebaik menerima laporan, pihaknya segera melancarkan operasi bagi mengesan suspek.

Hasil tindakan pantas itu, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 30 tahun berjaya ditahan di pekarangan sebuah stesen minyak di Sook kira-kira jam 2 petang keesokan harinya.

“Siasatan awal mendapati suspek utama mengaku mencuri kenderaan terbabit kerana tidak mempunyai kenderaan untuk kegunaan harian, manakala seorang lagi bertindak sebagai penumpang dan dipercayai turut terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati suspek utama mempunyai lima rekod kes narkotik serta dua kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kes narkotik.

Kenderaan yang dicuri dianggarkan bernilai RM5,000 dan berjaya ditemui semula susulan tangkapan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut, termasuk menjalani ujian saringan air kencing.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Leave feedback about this

  • Rating