Tempatan Utama

DBKK Roboh 38 Rumah Setinggan Haram Belakang Alamesra, Operasi Akan Diteruskan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneruskan tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah kerajaan apabila melaksanakan operasi perobohan bersepadu di kawasan setinggan belakang Alamesra, Likas pada 19 Jun lalu.

Dalam operasi yang melibatkan DBKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), sebanyak 13 struktur setinggan berjaya dirobohkan, menjadikan jumlah keseluruhan rumah yang telah dirobohkan setakat ini sebanyak 38 buah.

DBKK memaklumkan kawasan tersebut dikenal pasti sebagai penempatan haram yang berkembang di atas tanah rizab hutan bakau dan pesisir sungai, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan, kesihatan awam serta ancaman kepada ekosistem alam sekitar.

Hasil bancian mendapati terdapat 101 rumah di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2 serta 150 struktur setinggan di kawasan bakau belakang Alamesra, yang sebahagian besarnya didiami penghuni bukan warganegara.

Menurut DBKK, notis pengosongan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terlibat pada 13 April 2026 sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

Sebanyak 112 lagi struktur dikenal pasti untuk tindakan perobohan seterusnya dalam usaha membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah.

Leave feedback about this

  • Rating