
SANDAKAN: Bermula dengan modal hanya RM700 dan ilmu yang dipelajari menerusi video YouTube, seorang usahawan tempatan berjaya mengubah usaha kecil ternakan ketam nipah lembut menjadi perusahaan yang berkembang pesat di daerah ini.

Menurut perkongsian portal Sandakankini, Suhaili Abdurahman memulakan projek ternakan ketam nipah lembut di perairan Kampung Bambangan pada tahun 2013 dengan hanya enam sangkar serta sejumlah kecil benih ketam.
Demi memastikan projek itu berjaya, beliau bersama isteri dan tiga anak kecil sanggup berpindah ke rumah terapung berhampiran kawasan ternakan bagi memudahkan pemantauan harian.
Tanpa latihan formal dalam bidang akuakultur, Suhaili menimba ilmu melalui video tutorial di YouTube dan kajian kendiri.
Beliau yakin perairan Kampung Bambangan mempunyai potensi besar untuk industri ketam nipah lembut seperti yang berkembang di negara jiran.
Hasil usaha berterusan itu mula menampakkan kejayaan apabila ketam yang diternak bertukar menjadi ketam nipah lembut dalam tempoh kira-kira sebulan, sekali gus meningkatkan nilai jualannya di pasaran.
Namun, perjalanan tersebut bukan tanpa cabaran. Suhaili perlu memantau proses penukaran kulit ketam yang lazim berlaku pada waktu malam kerana hasil ternakan perlu dituai dalam tempoh tertentu bagi mengekalkan status ketam lembut yang bernilai tinggi.
Selain berdepan cuaca tidak menentu, ribut serta persaingan mendapatkan bekalan benih, beliau terus mengembangkan perusahaan sehingga kini mengendalikan lebih 50 sangkar ternakan dengan pengeluaran sekitar 500 hingga 600 kilogram ketam nipah lembut setiap bulan.
Kejayaan itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila ramai nelayan dan penduduk kampung terlibat sebagai pembekal benih ketam.
Malah, lokasi ternakannya kini menjadi tarikan pelancongan komuniti yang menerima kunjungan pelawat dari dalam dan luar negara.
Bagi Suhaili, kejayaan yang dikecapi bukan sekadar menjana pendapatan, tetapi juga meningkatkan taraf hidup keluarga, membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat serta mengharumkan nama Sandakan dan Sabah dalam industri akuakultur.— Sumber: Sandakankini.


Leave feedback about this