Tempatan Utama

Dakwaan “Kg. Asaon” Mengelirukan, Bukan Kampung Diwartakan — Alexyus

KOTA KINABALU: Dakwaan mengenai kewujudan “Kg. Asaon” di Matunggong serta tindakan pihak yang mengaku sebagai Suara Mahasiswa UMS dalam isu tanah Kerajaan disifatkan sebagai mengelirukan kerana kawasan berkenaan bukan sebuah kampung yang pernah diwartakan secara rasmi.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N5 Matunggong, Alexyus Matius berkata, kenyataan tersebut hanya mengeruhkan keadaan dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau secara peribadi menyokong tindakan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap pondok-pondok yang dibina secara tidak sah di kawasan berkenaan bagi memastikan undang-undang serta peraturan tanah Kerajaan dipatuhi.

Menurutnya, kawasan yang didakwa sebagai “Kg. Asaon” sememangnya telah lama diketahui sebagai tanah Kerajaan yang diwartakan bagi tujuan pembangunan Matunggong pada masa hadapan dan bukannya kawasan penempatan kampung yang sah.

Katanya, penduduk di kampung berhampiran seperti Kg. Tuid, Kg. Hobut dan Kg. Sumangkap memahami sejarah serta status sebenar tanah berkenaan yang merupakan milik Kerajaan dan bukannya tanah adat persendirian.

Alexyus berkata, isu itu tidak akan menjadi tegang sekiranya tiada campur tangan pihak luar yang tidak memahami latar belakang serta fakta sebenar kawasan tersebut.

Mengulas penglibatan pihak yang dikatakan terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), beliau menegaskan golongan intelektual perlu mendapatkan fakta tepat sebelum membuat sebarang kenyataan.

Katanya, mahasiswa seharusnya merujuk kepada pihak berwajib agar tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan atau memainkan sentimen tertentu bagi tujuan politik dan provokasi kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kawasan.

“Semua pihak perlu menghormati proses undang-undang serta tindakan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan pembangunan dan kestabilan kawasan Matunggong pada masa hadapan,” katanya.

Sumber Warta Oriental

Leave feedback about this

  • Rating