
MEMBAKUT: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah meluluskan sebuah Dewan Masyarakat baharu untuk Membakut bersesuaian dengan penaiktarafan statusnya kepada sebuah daerah penuh.
Beliau berkata, adalah wajar Membakut mendapat Dewan Masyarakat baharu, seperti yang dicadangkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif yang juga ADUN Membakut, memandangkan dewan yang sedia ada kini dalam keadaan daif.
“Saya memberi jaminan Membakut akan mendapat Dewan Masyarakat baharu tahun depan. Kos akan dipastikan oleh Pejabat Daerah dan jabatan teknikal,” katanya.
Ketua Menteri turut menandatangani plak memperingati naik taraf status Membakut kepada daerah penuh di Sekretariat Daerah di sini hari ini.

Hajiji menandatangani plak peringatan. Di sebelah kanan ialah Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.
Membakut yang diwartakan sebagai daerah penuh pada 30 Mac 2022, terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.
Terdahulu, Hajiji yang merupakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melancarkan Gagasan Rakyat Bahagian Membakut di Dewan Terbuka Membakut.
Beliau mengulangi bahawa walaupun ia baru ditubuhkan tujuh bulan lalu, Gagasan Rakyat telah berjaya menubuhkan 73 bahagian di Sabah dan satu di Labuan.
“Kami berbangga Gagasan Rakyat mampu menggerakkan jenteranya dengan cekap. Ini adalah petanda yang baik bahawa Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mencapai prestasi yang baik pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, GRS mahu memenangi pilihan raya kerana “kami mahu terus membangunkan Sabah.”
Pengerusi GRS itu juga berasa gembira melihat Gagasan Rakyat telah diterima baik oleh rakyat Sabah yang teringin untuk diwakili oleh parti tempatan.
“Sebagai parti berbilang kaum, kita (Gagasan Rakyat) akan mengutamakan politik tempatan dan pembangunan. Inilah wadah terbaik perjuangan kita demi rakyat Sabah,” katanya.
“Gagasan Rakyat ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi rakyat. Kami mahu bekerjasama dengan parti tempatan lain dalam GRS,” tambahnya.


Leave feedback about this