Tempatan Utama

Cuba Hidupkan Genset Ketika Blackout, Warga Emas 76 Tahun Maut Tertimbus Tanah Runtuh

SANDAKAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan awal pagi Rabu.

Mangsa, Agustine Frederick J Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 6.39 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 6.48 pagi, kira-kira enam kilometer dari balai.

“Laporan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.

“Mangsa yang merupakan staf hotel dipercayai cuba menghidupkan generator (genset) di bahagian belakang bangunan sebelum berlaku runtuhan tanah yang menimbus mangsa,” katanya.

Pasukan bomba yang menjalankan operasi ‘size-up’ mendapati mangsa tertimbus separuh badan sebelum bertindak mengeluarkannya menggunakan peralatan penyodok.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada 7.14 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dengan bantuan jentera FRT, EMRS dan D-Max diketuai PKPgB Jimmy Lagung, manakala Pegawai Zon Sandakan ialah TPgB Mohd Faizal Wahid.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.19 pagi selepas pihak bomba memastikan kawasan kejadian selamat dan tiada lagi bahaya lain.

Leave feedback about this

  • Rating