Tempatan Utama

Cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu dihormati

KOTA KINABALU: Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan isu perundangan semata-mata sehingga menolak cadangan itu, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, prinsip itu bukan sekadar tuntutan politik tetapi adalah sebahagian daripada semangat pembentukan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung isu itu menimbulkan polemik yang tidak sihat.

“Jawapan Azalina itu boleh menimbulkan ketegangan politik dan menggores hati rakyat Sabah dan Sarawak seolah-olah beliau menentang cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri itu.

“Pandangan itu juga dilihat bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini pada dasarnya bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, isu yang dibangkitkan itu berpotensi mencetuskan ketegangan politik selain membuka semula perbahasan lama mengenai layanan kerajaan pusat terhadap negeri di wilayah Borneo.

“Perkara ini boleh mencetuskan luka lebih besar tentang cara pusat melayani negeri di wilayah Borneo yang sepatutnya mempunyai autonomi politik sendiri,” katanya.

Terdahulu, Azalina dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu menjelaskan bahawa penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia membawa implikasi besar kepada negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, Masiung berkata, pada 16 November tahun lalu Perdana Menteri telah menyatakan persetujuan secara prinsip mengenai cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa kenyataan yang dikeluarkan Azalina dilihat seolah-olah menolak cadangan itu sedangkan Perdana Menteri telah terlebih dahulu memberi pertimbangan terhadap perkara berkenaan.

Leave feedback about this

  • Rating