Tempatan Utama

Cadangan bayar RM2 sekilogram sampah dapat perhatian DUN Sabah

Sabah Pertimbang Ganjaran Wang Tunai, Barangan Keperluan Untuk Pengumpul Sampah

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan cadangan memberi insentif berbentuk wang tunai atau barangan keperluan kepada penduduk yang mengumpulkan sampah sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan, khususnya di kawasan perkampungan dan pesisir pantai.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, cadangan itu dibincangkan ketika lawatan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Semporna baru-baru ini.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah menukar sampah yang dikumpulkan dengan barangan keperluan seperti minyak masak atau wang tunai bagi menggalakkan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Calvin Chong Sin Wun (Warisan-Elopura) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. Calvin sebelum itu mencadangkan pemberian ganjaran seperti RM2 bagi setiap kilogram sampah yang dikumpulkan bagi menarik penyertaan masyarakat, termasuk golongan belia.

Fairuz berkata, selain perkhidmatan kutipan sampah oleh syarikat konsesi, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk kampung dalam melaksanakan aktiviti pembersihan kawasan perairan Semporna.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembinaan tapak pelupusan sampah baharu di Semporna kini berada pada peringkat pelantikan kontraktor sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Katanya, usaha pembersihan sampah di darat dan laut akan terus dipergiat bagi memastikan kawasan pelancongan di Semporna sentiasa bersih dan terpelihara.

Leave feedback about this

  • Rating