
BUDI Diesel Sabah Dijangka Ditambah Baik Dalam Dua Hingga Tiga Minggu – Jamawi
RANAU: Kerajaan Negeri yakin penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah akan diumumkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu hasil sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya membentangkan kesan pelaksanaan subsidi diesel terhadap petani, nelayan, pengusaha industri makanan serta golongan muda yang menggunakan kenderaan diesel untuk pekerjaan dan perniagaan.
Menurut beliau, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberi perhatian serius terhadap perkara itu dan mengarahkan sesi libat urus bersama kementerian Persekutuan diadakan bagi memberi gambaran sebenar mengenai keperluan rakyat Sabah.
Katanya, sesi pertama bersama ketua-ketua jabatan negeri akan berlangsung pada Jumaat di Menara Kinabalu, diikuti sesi bersama wakil rakyat kerajaan pada Ahad.
Jamawi menegaskan Sabah memerlukan pendekatan berbeza dalam pelaksanaan subsidi diesel berikutan faktor geografi dan jarak perjalanan yang jauh berbanding Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, usaha menangani ketirisan subsidi perlu diteruskan, namun ia tidak seharusnya membebankan petani, nelayan, pengusaha industri makanan serta golongan muda yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk mencari rezeki.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, hari ini.
Dalam majlis itu, kementerian turut menyampaikan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau melibatkan peralatan pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berkualiti.
Jamawi berkata, kerajaan negeri turut giat memperkasa sektor penternakan dengan memulihkan padang ragut yang kurang dimanfaatkan serta memperluaskan program ruminan dan unggas.
Beliau turut memaklumkan lebih 3,000 individu dan kumpulan di Sabah kini terlibat dalam inisiatif Kebun Dapur, dengan sasaran 5,000 pengusaha dalam tempoh lima tahun dijangka dapat dicapai lebih awal.
Selain itu, kementerian sedang membangunkan platform digital kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah, dengan pemantauan kualiti oleh agensi berkaitan.
Sumber Warta Oriental


Leave feedback about this