Tempatan Utama

Bomba berjaya padam kebakaran pusat sampah selepas 24 jam

KOTA MARUDU: Pasukan bomba mengambil masa hampir 24 jam memadam kebakaran di pusat pengumpulan sampah Kampung Paka di sini, selepas kawasan berbukit dan timbunan sampah menyukarkan operasi.

Kebakaran membabitkan kawasan seluas 0.8 hektar itu berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi tadi selepas operasi dimulakan jam 9 pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Deblie Mamoi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi sebelum enam anggota bersama satu jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer dari balai.

Katanya, sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan pusat pengumpulan sampah seluas kira-kira 0.8 hektar sedang marak.

“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan hos salur bantu mula dengan bantuan dua jengkaut milik Majlis Daerah Kota Marudu untuk mengorek timbunan sampah dan mengawal pergerakan api.

“Kerja-kerja ‘fire break’ turut dilaksanakan bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 6.37 petang semalam selepas lebih sembilan jam operasi dijalankan, namun kerja pemadaman sepenuhnya diteruskan hingga pagi tadi bagi memastikan tiada bara tertinggal.

Katanya, Majlis Daerah Kota Marudu akan terus memantau keadaan dan akan memaklumkan kepada bomba sekiranya kebakaran kembali tercetus.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating