Tempatan Utama

Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) Catat Rekod, Lebih 13,000 Pelajar Sabah Terima Tajaan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini bagi menampung pelajar sedia ada serta tajaan baharu, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 2,182 pelajar menerima tajaan baharu bagi tahun 2026 melibatkan pengajian di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti kepada anak Sabah.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji berkata, BKNS turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima kepada 60 orang.

Selain BKNS, Kerajaan Negeri menawarkan beberapa skim biasiswa lain termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

Dalam usaha memperkukuh sektor kesihatan, beliau berkata, seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular hasil kerjasama antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College.
Pada masa sama, 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi inisiatif Yayasan Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Hajiji berkata, sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah telah memanfaatkan 835 penerima dengan perbelanjaan RM141.29 juta, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah membantu 15,629 penerima membabitkan lebih RM25 juta sejak 2022.

Beliau turut memaklumkan, MUIS melalui Bahagian Zakat dan Fitrah menyalurkan lebih RM12.7 juta bantuan pendidikan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, termasuk bantuan yuran awal dan tiket penerbangan pelajar.

Menurutnya, pelbagai inisiatif pendidikan lain seperti BUDI, BAKTI, BAIK, SUBFLY dan SENTOSA turut diteruskan bagi membantu meringankan beban pelajar serta keluarga.

Hajiji berkata, prestasi pendidikan Sabah turut menunjukkan peningkatan apabila keputusan SPM 2025 merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi kali pertama Sabah mencatat GPN di bawah paras 5.00.

Beliau menggesa pelajar terus mengekalkan kecemerlangan dan menceburi bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi masa depan negeri.

Leave feedback about this

  • Rating