Tempatan Utama

Biasiswa juga untuk pelajar asasi, matrikulasi dan A-Level

KOTA KINABALU: Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) ditawarkan kepada pelajar  yang akan melanjutkan pengajian di peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bermula tahun  ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Selain itu, elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan yang sedang melanjutkan pengajian  di universiti awam dan swasta akan turut diseragamkan.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BKNS dalam menyokong  pembangunan pendidikan di negeri ini bagi memastikan lebih ramai pelajar berpotensi  mendapat akses kepada pendidikan tinggi,” katanya.

Berucap pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat  Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini, Ketua Menteri berkata tahun ini Kerajaan Negeri  telah memperuntukkan jumlah tertinggi untuk biasiswa berbanding tahun-tahun  sebelumnya.

“Daripada hanya RM50 juta pada tahun 2020, peruntukan BKNS telah meningkat setiap  tahun sepanjang lima tahun lalu, dan mencapai RM136 juta pada tahun 2025.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, mencerminkan  komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.

Ketua Menteri berkata bahawa Kerajaan Negeri telah membuat pelaburan yang besar untuk  melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan di negeri ini, yang telah  memberi manfaat kepada sejumlah 13,550 pelajar dari tahun 2021 hingga 2024.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa komitmen Kumpulan Yayasan Sabah amat  jelas dengan peruntukan sebanyak RM67.17 juta untuk sektor pendidikan tahun lalu, yang  memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.

Jumlah ini mencatat peningkatan ketara sebanyak 148.96 peratus berbanding hanya  RM26.98 juta pada tahun 2020, katanya, sambil menambah bahawa seramai 10,104  penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang  dilancarkan beliau pada Jun 2022, melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM15.8 juta.

Beliau berkata melalui Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) lebih  48,000 pelajar di seluruh Sabah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun lalu,  dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta.

Hajiji berkata inisiatif-inisiatif ini akan terus membantu meningkatkan mutu pendidikan anak anak Sabah serta menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti.

Beliau turut menegaskan bahawa selaras dengan usaha memperkukuh dan  mempelbagaikan inisiatif bantuan pendidikan di negeri ini, pelbagai jenis bantuan telah  dilaksanakan melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Tahun ini sahaja, katanya, sebanyak RM77.5 juta telah diperuntukkan bagi membiayai 14  inisiatif bantuan pendidikan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one-off  (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SUBFLY); dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Inisiatif bantuan pendidikan ini turut disokong oleh agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah  dan Perbadanan Baitulmal Sabah, katanya.

Hajiji berkata pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan melalui jabatan dan  agensi berbeza mencerminkan komitmen kuat Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan  dan masa depan anak-anak Sabah.

“Kita akan terus memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dijaga dan diberi perhatian  sewajarnya, tanpa mengira latar belakang. Kepada golongan belia, belajarlah bersungguh sungguh dan berusahalah mencapai kecemerlangan lebih tinggi.

“Terokailah bidang profesional seperti minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan  Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Kecerdasan Buatan (AI), bagi melahirkan individu  berkepakaran tinggi dan berkualiti dari Sabah dalam pelbagai sektor,” katanya.

Hajiji berharap anugerah ini menjadi dorongan kuat kepada para pelajar untuk terus  cemerlang dan pada masa yang sama, membantu mengharumkan nama Sabah di peringkat  kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya juga ingin mengingatkan semua penerima supaya tidak menjadikan anugerah ini  sebagai alasan untuk berasa selesa. Sebaliknya, jadikan ia sebagai aspirasi untuk terus  berusaha mencapai kecemerlangan, demi menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan visi  Madani negara.

“Pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Kecemerlangan ini memikul amanah dan  tanggungjawab yang lebih besar di masa depan. Ini termasuk menjadi contoh teladan  kepada rakan-rakan sebaya, tidak mudah terpengaruh dengan sentimen, retorik berlebihan,  atau perkara yang boleh merosakkan negeri dan negara kita,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating