
KOTA KINABALU: Peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion disifatkan sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan bayaran tersebut yang dilihat sebagai perkembangan positif kepada Sabah.
Menurutnya, keputusan itu turut membuktikan keberkesanan pendekatan rundingan berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sehingga membawa manfaat kepada rakyat Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Bayaran Khas Interim itu bukan pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan daripada negeri itu.
“Wanita Gagasan Rakyat kekal konsisten menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah melalui saluran perundingan yang berhemah, konstruktif dan berlandaskan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan bayaran interim itu dijangka dapat mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan inisiatif kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek bekalan air, infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan serta pembangunan luar bandar.
Pada masa sama, beliau berharap peruntukan tambahan berkenaan dimanfaatkan secara telus, berkesan dan strategik agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat di seluruh Sabah.
Katanya, Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat.
Sumber Warta Oriental


Leave feedback about this