
KOTA KINABALU: Sempena tema ‘Hulurkan Salam’ bagi Ramadan dan Syawal pada tahun ini, Bank Rakyat meneruskan usaha murninya menerusi inisiatif Jangkauan Komuniti Madani dengan menyantuni anak-anak yatim dan golongan
yang memerlukan di negeri Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu dan RM6,000 kepada Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Papar untuk membeli barangan keperluan bagi memastikan anak-anak ini dapat menikmati suasana Ramadan dan Syawal dengan penuh keceriaan.
Selain itu katanya, Bank Rakyat turut mengadakan program Bazar Kasih Ramadan yang membawa 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim As-Sakinah untuk merasai suasana membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Palm Square Commercial Centre, Kinarut.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa mengalualukan pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat oleh sektor swasta dan korporat, terutamanya melibatkan golongan sasaran yang memerlukan, termasuk kanak-kanak sebagai penerima manfaat.
“KUSKOP juga sentiasa menyokong pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik kerana ia membantu memperkukuh nilai kekeluargaan dan keprihatinan dalam masyarakat tanpa mengira latar belakang, sejajar dengan konsep Malaysia Madani,” katanya semasa program penyerahan sumbangan yang diadakan di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, hari ini.
Di samping itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, sebagai organisasi yang bertanggungjawab, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memberi semula kepada masyarakat menerusi inisiatif yang dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka, termasuk daripada golongan kanak-kanak yang merupakan generasi yang bakal menjadi pemimpin negara satu hari nanti.
“Tema ‘Hulurkan Salam’ yang dipilih oleh Bank Rakyat sempena Ramadan dan Syawal tahun ini juga bertujuan menyebarkan nilai kebaikan dan keprihatinan kepada masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik.
“Bertepatan dengan konsep ‘Hulurkan Salam’ ini, Bank Rakyat mengajak semua pihak untuk saling menyantuni dan menghulurkan bantuan, serta merayakan kegembiraan dan keberkatan bulan Ramadan bersama-sama,” katanya.
Di samping itu, Bank Rakyat juga meneruskan tradisi menghargai pelanggannya sempena bulan Ramadan dan Syawal tahun ini melalui Kempen Utama Hulurkan Salam, bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2025, yang menawarkan hadiah berjumlah RM370,000 dengan hadiah lumayan termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS dan motosikal elektrik BMW CE 04.
Selain itu, pelbagai tawaran istimewa turut ditawarkan seperti Kempen Rebat Petrol, Rebat Barangan Runcit serta Rebat Emas.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, orang ramai boleh layari laman media sosial rasmi @mybankrakyat dan laman sesawang www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454, atau kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berhampiran.


Leave feedback about this