
RANAU: Kejadian banjir kilat yang berlaku di puncak Gunung Kinabalu awal pagi tadi memaksa sebahagian besar pendaki membatalkan hasrat menawan puncak tertinggi Malaysia itu.
Menurut malim gunung, Ronny Gohun, hujan lebat bermula sekitar jam 6 pagi hingga 8 pagi menyebabkan laluan utama pendakian dipenuhi air, sekali gus membahayakan keselamatan pendaki. Keadaan kembali reda sekitar jam 11 pagi, namun pendaki dinasihatkan berpatah balik.
Pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), Feranideh Medi, memaklumkan hanya kira-kira 30 peratus daripada pendaki yang memulakan pendakian awal pagi berjaya tiba di puncak. Pendakian biasanya bermula seawal jam 2.30 pagi, dengan checkpoint Sayat-Sayat perlu dilepasi sebelum jam 5.30 pagi, dan pendaki wajib tiba di puncak sebelum jam 7.30 pagi.
“Cuaca pada awal pagi berada dalam keadaan baik, namun berubah secara mendadak dengan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan laluan menjadi tidak selamat,” katanya.
Pihak berkuasa menasihatkan pendaki agar lebih berhati-hati dalam musim peralihan cuaca dan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat terkini sebelum meneruskan pendakian.
Walaupun insiden tersebut menjejaskan rancangan ramai pendaki, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan. Pihak berkuasa turut memuji kerjasama pendaki dan malim gunung dalam mematuhi prosedur keselamatan sepanjang kejadian.
Gunung Kinabalu terus menjadi destinasi pendakian ikonik, namun fenomena cuaca tidak menentu memerlukan langkah berjaga-jaga dan pengurusan risiko yang teliti demi keselamatan semua pihak.


Leave feedback about this