
PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan penolakan usul persendirian dibawa ADUN Kapayan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini bukan bermakna kerajaan negeri menolak perjuangan menuntut hak 40 peratus Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali berkata, keputusan menolak usul berkenaan dibuat sepenuhnya di bawah kuasa Speaker DUN dan bukannya atas arahan kerajaan negeri atau GRS.
Beliau berkata, persepsi yang cuba dimainkan pihak tertentu kononnya kerajaan negeri tidak serius memperjuangkan hak Sabah perlu diperbetulkan kerana kerajaan negeri kekal konsisten menuntut hak tersebut menerusi rundingan dan tindakan perundangan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mempertahankan tuntutan itu melalui afidavit balasan serta penghujahan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dalam kes melibatkan Sabah Law Society dan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri tegas bahawa hak 40 peratus adalah hak berperlembagaan yang wajib ditunaikan.
“Dalam sidang DUN terkini, Menteri Kewangan Sabah turut menjelaskan perkembangan rundingan termasuk kadar pertambahan geran khas berdasarkan data kutipan cukai.
“Kerajaan negeri mensasarkan peningkatan sekurang-kurangnya daripada RM600 juta setahun ketika ini kepada RM3 bilion setahun sebagai peringkat awal dan mahu ia dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ADUN Kapayan di sebuah majlis di Papar, pagi ini.
Armizan turut mendakwa usul dibawa ADUN Kapayan lebih bermotif politik bagi menggambarkan parti Parti Warisan sebagai pejuang utama isu hak 40 peratus.
Pada masa sama, beliau mendakwa kerajaan Warisan sebelum ini melakukan kesilapan besar apabila pada Ogos 2019 menyatakan isu tuntutan MA63 termasuk hak 40 peratus tidak wajar dibawa ke mahkamah.
Katanya, kerajaan negeri ketika itu juga didakwa bersetuju dengan semakan kadar pemberian khas di bawah Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan pada jumlah hanya RM53.4 juta menerusi surat rasmi kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada Oktober 2019.
“Tindakan itu amat cuai dan membelakangkan kepentingan negeri,” katanya.
Armizan berkata sekiranya semakan kadar baharu geran khas masih belum dilaksanakan sebelum sidang DUN akan datang, beliau akan berbincang dengan ADUN penyokong kerajaan yang diketuai Masiung Banah untuk membawa usul berkaitan hak 40 peratus.
Katanya, langkah itu penting bagi menegaskan pendirian kerajaan negeri selain merekodkan secara rasmi tindakan kerajaan Warisan pada 2019 dalam hansard DUN.
Beliau turut yakin Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim akan memberi perhatian serius terhadap tuntutan Sabah selepas pengiktirafan terbuka terhadap hak 40 peratus seperti termaktub dalam Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan.


Leave feedback about this