Tempatan Utama

Arahan Segera PM: Isu Keselamatan SK Balaban Jaya Perlu Diselesaikan

KOTA KINABALU – Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri supaya mengambil tindakan segera berhubung isu akses pendidikan dan keselamatan di Sekolah Kebangsaan Balaban Jaya, Beluran.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menegaskan bahawa keselesaan dan kebajikan murid dalam menuntut ilmu tidak boleh dikompromi dan perlu diberi perhatian utama.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa isu berkenaan berpunca daripada kerosakan infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun, sekali gus menjadikan kawasan sekolah tidak selamat untuk digunakan.

Menurut kenyataan itu, beberapa sesi libat urus telah diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan komuniti setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.

Sebagai langkah segera, murid akan dipindahkan sementara ke Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran, dengan kemudahan pengangkutan disediakan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu serta tidak membebankan ibu bapa.

Selain itu, kerja naik taraf di Sekolah Kebangsaan Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi menampung keperluan penempatan sementara murid, sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.

KPM turut menegaskan komitmen penuh untuk memastikan kebajikan pendidikan murid terjejas terus terpelihara, di samping memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah.

Leave feedback about this

  • Rating