Tempatan Utama

Anna Bell: Kepimpinan Hajiji Bawa Hasil

KOTA KINABALU: Peningkatan pemberian khas interim sebanyak RM1.5 bilion oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah disifatkan sebagai bukti kepimpinan berwawasan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Senator Datuk Anna Bell Perian berkata, peningkatan itu merupakan perkembangan positif yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu hak kewangan Sabah.

Menurutnya, ia turut memberi ruang fiskal lebih besar kepada kerajaan negeri untuk memperkukuh agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Beliau menjelaskan kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil rundingan berterusan, berhemah dan berasaskan fakta oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa peningkatan bayaran interim tersebut tidak mengubah pendirian untuk terus memperjuangkan pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah seperti termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anna Bell berkata, bayaran interim itu adalah langkah ke hadapan, namun bukan pengganti kepada hak perlembagaan Sabah, dan perjuangan mendapatkan hak 40 peratus akan diteruskan sehingga penyelesaian muktamad dicapai.

Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan Perlembagaan, Sabah berhak menerima Pemberian Khas yang dikaitkan dengan 40 peratus hasil bersih tertentu yang dipungut di negeri ini, sambil menyifatkan peningkatan daripada RM26.7 juta sebelum ini kepada RM1.5 bilion pada 2026 sebagai bukti kejayaan rundingan berterusan.

Katanya lagi, rundingan yang sedang berlangsung antara kerajaan negeri dan Persekutuan diyakini akan membawa penyelesaian adil dan memenuhi aspirasi rakyat Sabah selaras dengan semangat MA63.

“Peningkatan ini perlu dihargai, namun pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah kekal menjadi matlamat utama yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating