Tempatan Utama

Aktiviti penyelewengan diesel tumpas, KPDN rampas lori dan peralatan

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau merampas 1,350 liter minyak diesel bernilai RM104,256.25 dalam satu serahan kes oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Dalam operasi kira-kira jam 7.30 malam itu, pihak berkuasa turut menemui sebuah lori Isuzu 8 tan yang diubah suai dengan tangki tambahan, tong drum besi, hos paip dan mesin pam yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan diesel bersubsidi secara tidak sah.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas KPDN membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan barang kawalan tersebut.

KPDN menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat. Bagi individu, denda sehingga RM1 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala sehingga RM3 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan seterusnya.

KPDN turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi di seluruh negara.

Leave feedback about this

  • Rating