
Kontraktor Ditahan Disyaki Amang Seksual Anak Perempuan Berusia Empat Tahun
TAWAU, 30 Julai – Seorang kontraktor tempatan ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun dalam satu kejadian di daerah ini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, pihak polis menerima laporan pada jam 6.15 petang selepas seorang pegawai perubatan Hospital Tawau membuat laporan susulan pemeriksaan ke atas mangsa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati ibu mangsa membawa anaknya ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas kanak-kanak itu mengadu bahagian sulitnya telah disentuh oleh bapanya.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun, di perkarangan Hospital Tawau kira-kira jam 10.50 malam pada hari yang sama.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan lanjut daripada suspek.
Dalam pada itu, Wilynton merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya petugas Hospital Tawau, atas tindakan pantas dan profesional dalam mengesan serta melaporkan kes berkenaan kepada polis.
Menurutnya, tindakan segera itu membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas di samping memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mangsa terus diutamakan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki berlaku penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak diminta segera menyalurkannya kepada polis atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.


Leave feedback about this