
SEMPORNA: Kerajaan Sabah terus mempergiat usaha menangani masalah infrastruktur yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, termasuk isu jalan raya, bekalan air dan elektrik di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, lebih RM1 bilion kini dibelanjakan bagi melaksanakan pelbagai projek bekalan air di seluruh Sabah.
Menurutnya, beberapa projek berskala besar sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap dalam tempoh terdekat.
“Terdapat dua tiga projek besar yang akan siap. Satu daripadanya pada hujung tahun ini, manakala di Tawau pula progres mencapai lebih kurang 50 hingga 60 peratus.
“Kita juga mengganti paip-paip air di kebanyakan daerah bagi mengatasi kebocoran dan kecurian,” katanya.
Beliau berkata, masalah bekalan air di Sabah bukan isu baharu atau hanya berlaku di bawah pentadbiran kerajaan semasa, sebaliknya merupakan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Katanya, kerajaan negeri akan terus mengambil tindakan bagi memastikan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat.
“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia diwarisi dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab.
“Betullah orang politik, air tiada, dia salahkan kerajaan kita. Tapi apa yang dia buat waktu dia berkuasa dulu? Tidak ada apa-apa. Yang penting kita positif saja, kita baik, kita laksanakan untuk kemudahan rakyat kita,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran 106 Unit Kedai Dua Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial Fasa 2 dan 3 oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) di Jalan Bubul, di sini, hari ini.
Mengenai projek LPBB itu, beliau berkata pembangunan 106 unit kedai dua tingkat yang telah siap serta projek komersial Fasa 2 dan 3 dijangka merancakkan kegiatan ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan.
Katanya, pembangunan berkenaan amat penting dalam menyokong pertumbuhan Semporna sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah yang menerima kehadiran ramai pelawat.
“Saya merasmikan pelancaran projek LPBB, iaitu unit kedai yang telah siap 106 unit, serta pelancaran fasa kedua dan ketiga yang juga melibatkan unit kedai.
“Ini menunjukkan ia akan lebih merancakkan ekonomi di daerah Semporna. Semporna adalah daerah pelancongan di mana pelancong banyak datang ke sini, dan saya yakin dengan terbinanya kedai-kedai ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membeli-belah, makan, minum dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, pembangunan itu turut memberi peluang kepada penduduk tempatan dan kawasan sekitar untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti ekonomi.
Berdasarkan maklumat daripada pemaju, projek komersial berkenaan turut merangkumi pembinaan sebuah jeti yang akan dilaksanakan sendiri oleh pihak pemaju.
Hajiji berkata, usaha berkenaan selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggalakkan penyertaan rakyat, pemaju serta sektor swasta dalam pembangunan negeri.
“Antara hala tuju kita dalam SMJ ialah memberikan peluang kepada semua rakyat, pemaju dan pihak swasta.
“Kita mempunyai dasar yang terbuka dan mesra pelabur. Ini sahaja cara kita untuk maju ke hadapan.
“Kita gubal dasar yang memudahkan pemaju dan pelabur luar datang ke sini kerana dengan adanya pelaburan dan aktiviti ekonomi, kita akan wujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat kita seluas-luasnya,” katanya.
Sumber Warta Oriental


Leave feedback about this