
Fasiliti Kesihatan Sabah Perlu Dipertingkat, Akses Rakyat Diperkasa – Hajiji
TUARAN: Kerajaan Sabah mahu kemudahan dan fasiliti kesihatan di negeri itu terus dipertingkat bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat, selamat, berkualiti dan saksama.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penambahbaikan berterusan penting dalam sektor kesihatan, khususnya mengambil kira cabaran Sabah dari segi keluasan geografi, taburan penduduk serta aksesibiliti perkhidmatan.
Katanya, cabaran berkenaan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan sukar dicapai turut mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Sabah juga berharap lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar dapat dibangunkan, termasuk menambah bilangan doktor pakar bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Menurutnya, kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd yang dimeterai pada April lalu bagi pembinaan hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu merupakan antara usaha memperkukuh akses kepada rawatan jantung di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Hajiji menegaskan komitmen kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melindungi rakyat daripada ancaman produk kesihatan dan ubat-ubatan tidak sah.
Beliau berkata, perkembangan platform digital dan media sosial menyebabkan produk kosmetik, suplemen serta ubat-ubatan tidak berdaftar semakin mudah dipasarkan kepada pengguna.
Katanya, penggunaan produk tidak sah boleh memberi risiko serius terhadap kesihatan kerana tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sabah mengamalkan budaya menyemak status ubat menerusi aplikasi MyUbat sebelum membeli, selain mendapatkan nasihat ahli farmasi atau doktor sebelum menggunakan produk kesihatan baharu.
Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda kesihatan rakyat dapat diperkasa secara menyeluruh.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Hajiji berkata kerajaan negeri menerusi jawatankuasa berkaitan akan mengambil langkah proaktif sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan berisiko memudaratkan kesihatan rakyat.


Leave feedback about this