Tempatan Utama

Hajiji Santuni Mangsa Numbak, 110 Keluarga Kehilangan Tempat Berteduh

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor hari ini turun padang menziarahi mangsa kebakaran Kampung Numbak yang menyebabkan 110 Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia terjejas.

Lawatan Hajiji ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas turut disusuli pengumuman bantuan RM3,000 kepada setiap KIR warganegara bagi meringankan beban keluarga yang kehilangan kediaman dan harta benda.

Bantuan itu merangkumi RM1,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).

Daripada keseluruhan 110 KIR yang terjejas, 73 ditempatkan di PPS Dewan Damai, manakala 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas.

Hajiji turut mengumumkan Kerajaan Negeri akan menyediakan peralatan bernilai RM20,000 bagi setiap KIR warganegara untuk membantu membina semula rumah yang musnah dalam kebakaran.

Menurut beliau, urusan pembinaan semula akan diselaraskan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk menentukan sama ada rumah baharu dibina di lokasi asal atau kawasan lain.

Atas dasar kemanusiaan, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warganegara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan asas.

Tragedi kebakaran itu bukan sahaja memusnahkan kediaman, malah menyebabkan ratusan mangsa terpaksa bergantung kepada bantuan sementara ketika memulakan kehidupan semula selepas kehilangan tempat tinggal.

Leave feedback about this

  • Rating