
Projek Jalan Tengkurus-Lahanas Siba Capai 81.4 Peratus
KOTA BELUD: Projek menaik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Siba-Lahanas Sokid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian kini mencapai kemajuan 81.4 peratus.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, projek sepanjang 12.4 kilometer itu melibatkan peruntukan RM61 juta dan dijadualkan siap pada Julai 2027 selepas lanjutan masa kedua (EOT2).
Menurutnya, apabila siap sepenuhnya, projek berkenaan dijangka memberi akses jalan raya lebih baik kepada ribuan penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas selain menyokong aktiviti ekonomi dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, projek tersebut merupakan antara lima projek utama berskala besar menaik taraf jalan raya yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas yang lebih baik kepada penduduk Kadamaian.
Dalam tinjauan itu, Ewon turut menerima taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Kota Belud mengenai perkembangan projek.
Beliau turut meninjau pembinaan dewan terbuka Kampung Lahanas Siba yang dibiayai peruntukan RM50,000 yang disalurkan tahun lalu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk dilaksanakan sendiri.
Menurut Ewon, penyediaan kemudahan tersebut melengkapkan keperluan masyarakat di peringkat kampung, di samping projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan di Kadamaian.


Leave feedback about this