
Lima kawasan Sabah alami cuaca panas Tahap 1
KOTA KINABALU: Lima kawasan di Sabah kini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) susulan peningkatan suhu maksimum harian yang direkodkan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terbabit ialah Telupid, Tenom, Sandakan, Pitas dan Beluran.
Tahap 1 ditetapkan apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Secara keseluruhan, 16 kawasan di seluruh negara kini berada pada tahap berkenaan, termasuk 10 kawasan di Semenanjung Malaysia dan satu kawasan di Sarawak.
Di Semenanjung, kawasan terbabit ialah Larut dan Matang, Kuala Kangsar, Kampar serta Batang Padang di Perak; Kuala Krai di Kelantan; Kuantan, Raub, Temerloh dan Pekan di Pahang; serta Gombak di Selangor.
Sementara itu, Marudi menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak yang berada pada Tahap 1.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti perkembangan terkini status cuaca panas serta mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan yang mengalami peningkatan suhu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan status cuaca panas harian menerusi saluran rasmi MetMalaysia.


Leave feedback about this