Tempatan Utama

Ancaman ‘blackout’ atau ‘zombi’, Sabah perketat kawalan pintu masuk

KOTA KINABALU: Selepas negara dikejutkan dengan ancaman dadah ‘magic mushroom’ yang dikesan dalam perisa rokok elektronik (vape), kini muncul pula ancaman dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘blackout’ atau ‘zombi’.

ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun belum ada laporan mengenai kes membabitkan bahan berbahaya itu di Sabah, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam sentiasa memantau semua pintu masuk ke negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa keselamatan terutama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperketatkan kawalan fizikal dan logistik di semua pintu sempadan dari negara jiran.

“Mengikut laporan AADK, varian baharu dadah yang dilabelkan sebagai ‘blackout’ itu 100 kali lebih kuat daripada morfin.

“Dadah sintetik itu juga dikenal pasti telah memasuki pasaran gelap di negara ini,” katanya.

Menurutnya, cecair terlarang berkenaan bukan sahaja boleh dijadikan perisa vape, malah berpotensi dicampurkan ke dalam minuman atau makanan serta digunakan pada rokok.

Masiung berkata, berdasarkan laporan AADK, cecair ‘blackout’ atau ‘zombi’ mengandungi dos berlebihan yang boleh menyebabkan pengguna terlalu khayal, pasif dan tidak sedarkan diri.

Katanya, bahan berkenaan turut dikaitkan dengan campuran bahan psikoaktif yang berbahaya kepada fizikal manusia.

“Pengguna boleh hilang kewarasan dan fikiran, sekali gus memberi kesan kepada saraf otak serta sistem fizikal,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan bahan terlarang itu ke negara ini dipercayai boleh berlaku menerusi pelbagai laluan termasuk pengangkutan laut dan udara.

Masiung turut tidak menolak kemungkinan bahan berkenaan diproses oleh sindiket antarabangsa atau tempatan untuk dipasarkan di pasaran gelap negara ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit mungkin menggunakan pelbagai modus operandi termasuk penghantaran melalui perkhidmatan pos laju dan aplikasi dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa.

Justeru, beliau menegaskan kerjasama antara semua agensi penguat kuasa perlu diperkukuhkan bagi memastikan bahan terlarang berkenaan tidak menular ke Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating