Tempatan Utama

Pusat Jantung Sabah RM125 juta disasar beroperasi 2029

Pusat Jantung Sabah RM125 juta disasar beroperasi 2029

KOTA KINABALU: Pusat Jantung Sabah bernilai RM125 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Rolling Plan 1 (RP1) 2026 disasar mula beroperasi pada suku ketiga 2029.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerja-kerja awal projek kini sedang dilaksanakan termasuk proses perolehan bagi ujian bahan yang dijangka selesai pada Ogos ini.

Menurutnya, pembinaan pusat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2027 dan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan.

“Projek ini adalah projek baharu di bawah RMK-13 RP1 tahun 2026 dengan jumlah kos RM125 juta.

“Skop projek merangkumi kerja-kerja menaik taraf, pembangunan, peralatan dan kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Pusat Jantung Sabah merupakan antara tujuh projek baharu daripada keseluruhan 53 projek kesihatan yang melibatkan peruntukan RM1.57 bilion kepada Sabah di bawah RMK-13 RP1 2026.

Daripada jumlah itu, 46 projek adalah projek sambungan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata sebanyak 607 jawatan baharu telah diwujudkan di Sabah setakat 1 Ogos lalu bagi memperkukuh sumber manusia sektor kesihatan negeri.

Daripada jumlah itu, 355 jawatan membabitkan kumpulan Pengurusan dan Profesional termasuk 77 jawatan pakar serta 203 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi, manakala 252 jawatan lagi adalah Kumpulan Pelaksana.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut memberikan mandat kepada KKM untuk menguruskan pengambilan dan perjawatan secara terus bagi mengurangkan birokrasi.

KKM turut mengunjurkan peningkatan peruntukan tahunan sebanyak lima peratus kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah yang dijangka mencecah RM4 bilion menjelang 2030.

Sementara itu, pembangunan kesihatan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dipantau menerusi Balanced Scorecard dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Leave feedback about this

  • Rating