Ekonomi

Empat Ditahan Curi Kabel Telekom di Tambunan

KENINGAU: Kegiatan sekumpulan individu yang dipercayai mencuri kabel bawah tanah milik sebuah syarikat telekomunikasi terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan polis awal pagi Selasa.

Dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi di kawasan semak berhampiran jalan Kampung Mogong–Tangaban, Tambunan, empat suspek termasuk seorang wanita diberkas ketika disyaki sedang melakukan perbuatan itu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat awam dan risikan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Menurutnya, seorang suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum polis menahan tiga lagi individu hasil soal siasat dan pandu arah yang diberikan.

“Semua suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun dan dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya dalam kenyataan media.

Polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, antaranya rantai besi, kunci mangga, spanar boleh laras, pemutar skru, tukul besi, pemotong kabel, besi kuku kambing, beberapa gulung kabel serta sebuah kereta Proton Persona.

Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar Tambunan dan Keningau dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai bagi menarik keluar kabel bawah tanah.

Kabel yang dicuri dipercayai dijual sebelum hasilnya dibahagikan sesama mereka. Kumpulan itu juga dipercayai menyasarkan kabel yang mempunyai kandungan logam lebih tinggi kerana nilai pasaran yang lebih lumayan.

Semakan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk 10 kes berkaitan narkotik, manakala seorang lagi individu dikesan sebagai orang dikehendaki polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan kabel komunikasi. Permohonan reman akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut.

Leave feedback about this

  • Rating