Ekonomi

Dua lelaki ditahan polis rosakkan rosak papan tanda jalan

 

KENINGAU: Dua lelaki ditahan polis selepas tindakan mereka merosakkan papan tanda jalan di Jalan Sinaron–Tongod dirakam dan menjadi tular di media sosial.

 

Insiden yang berlaku lewat malam 2 Februari itu pada awalnya dirakam oleh rakan mereka sebelum dimuat naik ke status WhatsApp dengan tetapan umum. Video berkenaan kemudian disunting dan dikongsi semula di Facebook, sehingga menarik perhatian ramai serta menimbulkan kemarahan orang awam.

 

Rakaman berdurasi 22 saat itu menunjukkan kedua-dua suspek bertindak merosakkan kemudahan awam tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya.
Berikutan penularan video tersebut, polis berjaya mengenal pasti dan menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 19 tahun di Kampung Sinaron.

 

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung video tular itu pada jam 12.08 tengah malam hari sama.

 

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut dan mendakwa ia hanya gurauan kerana menyedari aksi mereka dirakam.

 

“Rakaman asal dimuat naik ke WhatsApp dengan tetapan awam sebelum disunting dan dikongsi semula oleh individu lain di Facebook sehingga menjadi tular,” katanya.
Beliau menambah bahawa polis telah memperoleh perintah reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik kerajaan, yang boleh membawa hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Yampil menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah, terutama yang melibatkan vandalisme terhadap kemudahan awam.

 

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyeru mereka menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

Leave feedback about this

  • Rating