Ekonomi

Lelaki Ditahan Kerana Ugut Sebar Gambar dan Video Peribadi Wanita di Merotai

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dalam tempoh kurang 24 jam selepas disyaki mengugut seorang wanita dengan ancaman menyebarkan video dan gambar peribadinya di Merotai Besar, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia sekitar 30-an ditahan oleh anggota Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di kawasan gerai Kampung Merotai Besar.

 

Tangkapan dibuat selepas seorang wanita lingkungan 20-an membuat laporan mendakwa diugut bekas kenalannya melalui beberapa panggilan telefon pada jam 10.35 pagi.
Menurut Jasmin, suspek didakwa menuntut wang dengan ancaman akan menularkan bahan peribadi mangsa.

 

Suspek juga dipercayai kerap menghubungi mangsa pada waktu malam sehingga mengganggu kehidupan rumah tangganya.
Kerana bimbang, mangsa mendakwa terpaksa menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.

 

Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan sebilah pisau kira-kira 16 sentimeter serta dua telefon bimbit di dalam beg sandangnya.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan atau pemerasan, terutama yang melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi.

Leave feedback about this

  • Rating