Ekonomi

Curi Tayar Jemaah Lepas Solat Jumaat, Lelaki 27 Tahun Dicekup Polis

SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki mencuri tayar dan rim kenderaan milik jemaah di sebuah masjid di daerah ini membawa padah apabila dia ditahan polis.

 

Suspek warga tempatan berusia 27 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna pada jam 5.20 petang hasil risikan dan maklumat awam.

 

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Januari lalu di Masjid Inabah Kamal, Semporna.
Menurutnya, mangsa menyedari kehilangan dua tayar berserta rim kenderaannya selepas selesai menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

 

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan membawa polis ke lokasi penyimpanan barangan curi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

 

Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap kegiatan jenayah dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan demi keselamatan awam. Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.

Leave feedback about this

  • Rating