Tempatan Utama

96 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan JIM Sabah

96 Warga Asing Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan JIM Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 96 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bersama beberapa agensi penguat kuasa di daerah Kota Kinabalu dan Tawau.

Di Kota Kinabalu, operasi bersepadu melibatkan Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan bersama Majlis Perbandaran Penampang telah memeriksa seramai 214 individu. Hasil operasi itu, seramai 52 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 20 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan warga Filipina.

Sementara itu di Tawau, operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir telah memeriksa seramai 120 individu.

Daripada jumlah itu, seramai 44 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Tangkapan di Tawau melibatkan 33 warga Filipina terdiri daripada 31 lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa, manakala 11 lagi adalah warga Indonesia yang terdiri daripada enam lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa.

JIM Sabah memaklumkan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.

Leave feedback about this

  • Rating