Tempatan Utama

700 kenderaan musnah dalam kebakaran stor kereta terpakai di Tuaran

TUARAN: Sebanyak 700 kenderaan musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kereta terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.10 petang melalui sistem NG999.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

“Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan keseluruhan kekuatan seramai 23 anggota.

“Kebakaran melibatkan stor penyimpanan kereta terpakai milik Stephen Motors Sdn Bhd dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 700 buah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran sebelum merebak ke kawasan stor yang menempatkan kenderaan berkenaan.

Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira dua ekar dan kesemua kenderaan terbabit dilaporkan musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera bomba serta water tanker.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. Operasi pemadaman masih dijalankan dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating