
KOTA KINABALU: Seramai 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam lapan serbuan berasingan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran, semalam.
Dalam operasi yang berakhir jam 3.30 pagi itu melibatkan tiga serbuan Op Mahir yang dilaksanakan di premis perniagaan dan lima lagi Op Sapu dilancarkan di kawasan kediaman serta lokasi tumpuan warga asing.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi dilaksanakan hasil daripada aduan orang awam serta risikan awal yang dijalankan oleh pihak penguatkuasaan.
Katanya, hasil serbuan seramai 142 orang diperiksa dan 56 orang warga asing ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut akta imigresen.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dewasa warganegara Indonesia dan
53 warga Filipina melibatkan 16 lelaki, 12 wanita dan 25 kanak-kanak.
“Semua mereka dipercayai telah melanggar peruntukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk menjalani proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sementara itu, SH Sitti Saleha menegaskan, usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
“Pihak JIM turut menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan keberadaan PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warga asing yang melanggar peruntukan
undang-undang negara seperti yang termaktub dalam Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Jabatan Imigresen Malaysia juga akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam menjamin kedaulatan dan keselamatan negara dengan memastikan hanya individu yang mematuhi undang-undang imigresen dibenarkan untuk berada dan bekerja di Malaysia,” katanya.


Leave feedback about this