Tempatan Utama

364 sekolah, gereja dan tokong di Pantai Barat Utara terima bantuan RM6.82 juta

KOTA MARUDU: Sebanyak 364 sekolah, gereja dan tokong di lima daerah dalam Zon Pantai Barat Utara menerima bantuan kewangan untuk sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bernilai RM6.82 juta.

Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki berkata sumbangan itu membabitkan  45 buah sekolah, dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM2.29 juta, 310 buah gereja memperoleh RM4.11 juta dan sembilan buah tokong disalurkan RM425,000.

Katanya, lima daerah yang termasuk dalam Zon Pantai Barat Utara ialah Kudat, Banggi, Matunggong, Kota Marudu dan Pitas.

“Kerajaan negeri senantiasa prihatin, mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

“Semoga sumbangan dan bantuan kewangan ini sedikit sebanyak memberi keselesaan dan manfaat serta dapat memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan penyerahaan bantuan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khoi Ming, di sini.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memastikan kemudahan sekolah serta rumah ibadat sentiasa berada dalam keadaan yang kondusif, selamat dan selesa digunakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bantuan kewangan untuk tahun hadapan juga bertambah seperti yang diumumkan pada sesi pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada 15 November lalu.

“Belanjawan Negeri 2025 memperuntukkan sejumlah RM70 juta bagi tujuan ini dengan penambahan sebanyak RM13.25 juta berbanding 2024 iaitu RM56.75 juta dan tahun 2023 sebanyak RM54.05 juta.

“Permohonan bantuan kewangan bagi 2025 akan dibuka seperti biasa mulai 2 Januari hingga 31 Mac dan borang permohonan boleh diakses di laman web Kementerian Kewangan Negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru sektor swasta dan dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta dan sama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini.

Majlis penyerahan surat kelulusan bantuan ini adalah yang terakhir diadakan selepas Zon Pantai Barat Selatan, Zon Pedalaman Bawah (Beaufort), Zon Pedalaman Atas (Tenom), Zon Pantai Timur (Sandakan dan Tawau).

Leave feedback about this

  • Rating