
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mencabar seluruh kontinjen Sabah agar mengembalikan kegemilangan sukan negeri pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor menerusi semangat juang tinggi, disiplin serta tekad memburu kejayaan demi mengharumkan nama Sabah di pentas kebangsaan.

Sejajar dengan misi itu, Sabah menetapkan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA, manakala kontinjen Para SUKMA menyasarkan 66 pingat emas serta bertekad merampas semula gelaran juara keseluruhan.
Hajiji berkata, sasaran itu mencerminkan keyakinan kerajaan negeri terhadap tahap persediaan atlet, keupayaan jurulatih, pengurusan pasukan serta sistem pembangunan sukan Sabah yang diperkasakan secara berterusan.
“Saya mahu setiap atlet percaya bahawa sasaran ini mampu dicapai. Kita mempunyai bakat, pengalaman dan semangat yang diperlukan. Yang penting, kita turun bertanding dengan keberanian, fokus dan tekad untuk memberikan yang terbaik.
“Bagi Para SUKMA pula, Sabah mensasarkan 66 pingat emas dan bertekad untuk kembali menjulang gelaran juara keseluruhan. Insya-Allah, kedua-duanya kita boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sabah ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor di Kota Kinabalu, hari ini.
Beliau berkata, pencapaian Sabah pada SUKMA Sarawak sebelum ini yang membawa pulang 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa menjadi asas penting untuk meningkatkan prestasi pada temasya kali ini.
Menurutnya, kontinjen SUKMA Sabah kali ini membabitkan 943 anggota yang terdiri daripada 744 atlet, 148 jurulatih dan 51 pengurus pasukan serta akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Bagi Para SUKMA pula, Sabah menghantar 271 anggota, merangkumi 154 atlet, 80 jurulatih dan pegawai serta 37 anggota urusetia.
Hajiji turut meletakkan harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet Sabah berjaya membawa pulang pingat.
“Saya sebagai Ketua Menteri menaruh harapan agar sekurang-kurangnya 80 peratus atlet kita mampu pulang dengan pingat. Berjuanglah sepenuh tenaga dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengharumkan nama negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan disiplin perlu menjadi kekuatan utama setiap atlet kerana bakat semata-mata tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
Beliau turut mengingatkan atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau suplemen tanpa nasihat jurulatih, pegawai perubatan atau pakar bertauliah bagi mengelakkan risiko penggunaan bahan terlarang yang boleh menjejaskan kelayakan, membatalkan keputusan pertandingan serta merosakkan kerjaya mereka.
Selain itu, beliau menyeru semua pegawai memastikan aspek keselamatan, kebajikan, penginapan, rawatan, pemulihan dan semangat setiakawan dalam kalangan atlet sentiasa diberi perhatian sepanjang berada di Selangor agar mereka dapat memberikan prestasi terbaik.
Sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan atlet, jurulatih dan keluarga, Hajiji turut mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan kadar insentif kemenangan yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi acara SUKMA dan Para SUKMA.
“Insentif ini merupakan tanda penghargaan kerajaan kepada atlet kita. Saya menyeru seluruh kontinjen Sabah supaya melangkah ke Selangor dengan satu hati, satu semangat dan satu matlamat.
“Berjuanglah habis-habisan, rebut setiap peluang dan buktikan bahawa Sabah mampu berdiri bersama negeri-negeri terbaik dalam arena sukan tanah air,” katanya.
Sumber SabahNews


Leave feedback about this