Tempatan Utama

MRSM Ranau Dinobat Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026, Masidi Bangga Kejayaan Anak Sabah

KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau terus mengharumkan nama Sabah apabila dinobatkan sebagai Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 peringkat kebangsaan.

Pengiktirafan itu diberikan hasil kecemerlangan MRSM Ranau dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, sekali gus meletakkan institusi itu di tangga pertama dalam kalangan sembilan MRSM di Borneo.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga MRSM Ranau atas kejayaan membanggakan tersebut.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen tinggi pihak pengurusan, tenaga pengajar, pelajar serta sokongan padu ibu bapa melalui Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau.

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa anak-anak Sabah mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi apabila diberikan pendidikan berkualiti serta sokongan yang berterusan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau yang diketuai Yang Dipertuanya, Pamela Joseph bersama Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri dan rombongan di pejabatnya.

Masidi berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain di Sabah untuk terus memperkasakan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARA atas komitmen berterusan dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan melahirkan modal insan berdaya saing demi pembangunan Sabah serta negara.

Sementara itu, Ismail Badri merakamkan penghargaan kepada Masidi atas sokongan dan komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan sektor pendidikan, khususnya di daerah Ranau.

Menurutnya, kejayaan MRSM Ranau menerima Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 serta tersenarai antara empat MRSM terbaik daripada 57 MRSM di seluruh negara adalah hasil usaha bersepadu semua pihak, termasuk pemimpin, warga pendidik, ibu bapa dan pelajar.

Leave feedback about this

  • Rating