Tempatan Utama

10 Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Merusuh Libatkan Empat Pelajar di Tawau

10 Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kes Merusuh Libatkan Empat Pelajar di Tawau

TAWAU, 4 Julai – Polis menahan 10 pelajar lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki merusuh yang mengakibatkan empat pelajar cedera dalam kejadian di Merotai Besar, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, berkata kesemua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi dalam operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati seorang mangsa berusia 14 tahun bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat sebelum didatangi sekumpulan pelajar yang bertanyakan mengenai keberadaan dua individu lain.

“Selepas mangsa memaklumkan tidak mengetahui lokasi individu yang dicari, kumpulan pelajar terbabit dipercayai bertindak menyerang dan memukul mangsa secara beramai-ramai. Tiga lagi rakan mangsa yang berada di lokasi turut menjadi sasaran serangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, kepala, dada dan rusuk, manakala tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan sebelum tampil membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat yang diterima serta hasil siasatan, polis berjaya menahan 10 pelajar bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Wilynton berkata, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan atau salah laku membabitkan pelajar dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, selain menggesa pihak sekolah dan masyarakat terus bekerjasama dengan polis dalam membendung gejala keganasan dalam kalangan pelajar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Chong Fung Mee, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Leave feedback about this

  • Rating