
KOTA KINABALU: Seramai 150 nelayan dari kumpulan B40 telah menerima sumbangan berbentuk jaket, lampu serta aksesori keselamatan.
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Sabah, Dr Ritchie Jay Cheng berkata, ia merupakan sumbangan peribadi beliau kepada golongan berkenaan.
“Seramai 50 orang dari Sembulan, 50 dari Tanjung Aru dan 50 dari Pulau Gaya…ia adalah sebahagian daripada usaha kami iaitu saya dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, Datuk Awang Ahmad.
“Ia bagi meningkatkan tahap keselamatan nelayan ketika turun ke laut yang sebelum ini para nelayan disini kurang kelengkapan keselamatan apabila berada di laut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Aru berkata, beliau menyambut baik langkah proaktif kerajaan negeri yang baru-baru ini telah menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah.
Katanya, majlis itu akan menjadi platform strategik bagi mengukuhkan sektor berkaitan laut seperti perikanan, maritim, pelancongan laut dan akuakultur, secara mampan serta terancang.
“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Sabah komited dalam membangunkan potensi laut kita demi faedah rakyat keseluruhannya.
“Saya percaya, dengan mandat yang jelas kepada calon GRS di DUN Tanjung Aru dalam pilihan raya negeri nanti, kita akan mampu memperluaskan lagi program seperti ini, serta menjamin masa depan ekonomi pelancongan dan perniagaan laut yang lebih rancak,” katanya.
Sumber UtusanBorneo


Leave feedback about this