
TENOM: Sebanyak 1,000 benih ikan siakap dan 2,500 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Padas berhampiran Jambatan Baharu Tenom sebagai usaha memperkaya sumber perikanan sungai serta menyokong pembangunan kawasan rekreasi di daerah itu.
Sumbangan benih berkenaan disalurkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, dan diwakili Pegawai Khasnya, Mohd. Nizam Ag. Kassim bersama Pegawai Perikanan Daerah Tenom, Francis Tikoi.
Mohd. Nizam berkata, program itu selaras dengan perancangan membangunkan kawasan sekitar Jambatan Baharu Tenom sebagai “Esplanade Tenom”, yang bakal memberi manfaat kepada masyarakat melalui pemuliharaan ekosistem, aktiviti rekreasi dan pembangunan perikanan darat.
Beliau berharap benih yang dilepaskan akan membesar serta membiak bagi meningkatkan populasi ikan dan udang galah di Sungai Padas, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat pada masa hadapan.


Leave feedback about this