
TAWAU: Mahkamah hari ini membenarkan permohonan reman terhadap 10 remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar dipukul ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu depan dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Kesemua suspek yang berusia antara 14 hingga 17 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai.
Mereka disyaki terbabit dalam kejadian membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bersama tiga rakannya yang didakwa dipukul ketika berjalan menuju ke Masjid Merotai Besar untuk menunaikan solat Jumaat.
Insiden berkenaan mendapat perhatian ramai selepas rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Polis kini sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan kronologi kejadian serta tindakan lanjut yang akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
Sumber Berita Harian


Leave feedback about this