
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan dua kadar zakat fitrah bagi tahun 1447H/2026M, iaitu RM7.50 untuk beras putih import dan RM15.00 bagi beras wangi.
Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali, berkata kadar berbeza ini mengambil kira jenis beras yang dimakan masyarakat Islam di negeri ini dan telah mendapat kelulusan Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah.
Beliau menjelaskan kadar zakat ditentukan berdasarkan satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kilogram, selaras dengan Enakmen Zakat dan Fitrah 1993 dan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Hasil tinjauan MUIS bersama Beras Corporation (Sabah) mendapati harga purata beras putih import RM2.82 sekilogram, manakala beras wangi RM5.43 sekilogram.
Ramlan menyeru umat Islam di Sabah menunaikan zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan bagi membantu golongan asnaf menjelang Aidilfitri.
