
Pelajar SMK Banggi muncul juara Pertandingan Saintis Muda peringkat kebangsaan
KOTA KINABALU: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Kudat membuktikan kemampuan murid dari kawasan kepulauan apabila muncul juara Pertandingan Saintis Muda sempena Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Artisya Abdullah dan Rasma Mohd Ali daripada pasukan Bonggi STEM Innovators meraih kejayaan itu menerusi inovasi ‘Smart Food Saver: Sistem Penyimpanan Makanan Pintar Hibrid Berasaskan IoT dan Sisa Tempurung Kelapa Pulau Banggi’.
Projek berkenaan dibangunkan di bawah bimbingan guru mereka, Norsila Samsudin.
Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan di pentas kebangsaan apabila hadiah disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pasukan SMK Banggi membawa pulang hadiah bernilai RM700, selain trofi dan sijil penghargaan.
Smart Food Saver dibangunkan bagi menangani masalah penyimpanan makanan yang dihadapi murid asrama SMK Banggi, khususnya dalam persekitaran bersuhu dan berkelembapan tinggi yang menyebabkan makanan lebih cepat rosak.
Sistem berkenaan menggabungkan teknologi Internet of Things (IoT) dengan penggunaan ‘Smart Carbon’ yang dihasilkan daripada sisa tempurung kelapa tempatan.
Ia berupaya memantau keadaan penyimpanan makanan berdasarkan parameter seperti suhu, kelembapan dan kualiti udara, sebelum memberikan status Fresh, Monitor atau Not Safe kepada pengguna.
Penggunaan tempurung kelapa turut mengetengahkan aspek kelestarian apabila bahan buangan yang mudah diperoleh di Pulau Banggi dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada penyelesaian inovatif.
Menurut Norsila, projek itu tercetus hasil pemerhatian terhadap masalah sebenar yang dihadapi murid dalam kehidupan harian di asrama.
“Smart Food Saver bukan sekadar projek untuk pertandingan. Kami mahu murid melihat sains boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di sekeliling mereka.
“Idea ini bermula daripada masalah penyimpanan makanan di asrama dan kemudian dikembangkan oleh murid melalui proses penyelidikan, pengujian dan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan berkenaan membuktikan faktor lokasi dan keterbatasan kemudahan bukan penghalang kepada murid dari kawasan kepulauan untuk menghasilkan inovasi serta bersaing di peringkat kebangsaan.
“Walaupun kami datang dari sebuah sekolah di Pulau Banggi dan berhadapan pelbagai kekangan dari segi akses serta logistik, murid-murid mempunyai potensi yang sangat besar apabila diberikan peluang, bimbingan dan keyakinan.
“Kemenangan ini kami dedikasikan kepada seluruh warga SMK Banggi serta masyarakat Pulau Banggi. Kami berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada murid lain bahawa mereka juga mampu membawa nama sekolah, daerah Kudat dan Sabah ke peringkat kebangsaan,” katanya.
Kejayaan Bonggi STEM Innovators itu sekali gus menjadi pencapaian membanggakan buat SMK Banggi, selain membuktikan pendidikan STEM mampu membuka ruang kepada murid luar bandar dan kawasan kepulauan untuk mengetengahkan kreativiti serta inovasi di pentas nasional.
