Sabah First Info Blog Tempatan Jangan mudah percaya! Sabah Electricity gesa pengguna waspada penyamar
Tempatan Utama

Jangan mudah percaya! Sabah Electricity gesa pengguna waspada penyamar

SABAH ELECTRICITY NAfi ARAHAN PEKERJA KUNJUNGI RUMAH PENGGUNA TANPA URUSAN RASMI

 

KOTA KINABALU: Sabah Electricity menegaskan syarikat itu tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota kerjanya berkunjung ke rumah pengguna untuk mendapatkan maklumat atau butiran peribadi tanpa urusan rasmi yang dimaklumkan terlebih dahulu.

 

Penegasan itu dibuat susulan kebimbangan kemungkinan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai anggota kerja Sabah Electricity bagi mendapatkan maklumat berkaitan akaun atau butiran peribadi pengguna.

 

Dalam satu kenyataan, Sabah Electricity memaklumkan pemeriksaan atau kerja penyelenggaraan oleh anggota kerja rasmi hanya melibatkan meter elektrik serta komponen berkaitan yang berada di luar rumah.

 

Menurutnya, anggota kerja juga tidak diarahkan memasuki rumah atau premis pengguna untuk memeriksa pendawaian elektrik dalaman tanpa urusan rasmi yang telah dimaklumkan dan disahkan.

 

“Anggota kerja rasmi Sabah Electricity akan memakai pakaian seragam berlogo syarikat serta membawa kad pengenalan pekerja yang sah.

 

“Pengguna berhak meminta pengesahan identiti sebelum sebarang urusan dijalankan,” katanya.

 

Sabah Electricity turut menegaskan anggota kerjanya tidak dibenarkan membuat kutipan bayaran tunai atau deposit secara langsung di rumah pengguna.

 

“Sebarang bayaran berkaitan perkhidmatan elektrik hendaklah dibuat menerusi saluran pembayaran rasmi yang disediakan syarikat,” katanya.

 

Bagi urusan berkaitan akaun dan perkhidmatan elektrik, pengguna dinasihatkan berurusan melalui pejabat Sabah Electricity atau menghubungi talian 15444 dan 088-515000, selain menggunakan aplikasi mySE+.

 

Sabah Electricity berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa sebagai wakil atau anggota kerja syarikat.

 

“Orang ramai juga disaran mendapatkan pengesahan daripada Sabah Electricity sekiranya berasa ragu-ragu terhadap identiti individu yang hadir ke kediaman mereka,” katanya.

Exit mobile version