Sabah First Info Blog Tempatan Internet Terus ke Telefon Bimbit Bakal Diuji di Sabah
Tempatan Utama

Internet Terus ke Telefon Bimbit Bakal Diuji di Sabah

JENDELA FASA 2, SALAM PERKASA INFRASTRUKTUR DIGITAL SABAH

KOTA KINABALU: Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal melaksanakan pelbagai inisiatif infrastruktur digital bagi memperluas serta memperkukuh capaian internet di Sabah.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara inisiatif yang akan diperkasa ialah Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) serta teknologi internet satelit terus ke telefon bimbit menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

Beliau berkata, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan melibatkan lebih 300 lokasi di Sabah, selain jumlah yang sama di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Bagi memperluas liputan internet, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 akan dimulakan tidak lama lagi, merangkumi lebih 300 lokasi di Semenanjung Malaysia, 300 di Sarawak dan 300 di Sabah.

“Pendekatan baharu akan digunakan bagi kawasan terpencil dengan memanfaatkan internet satelit berbanding pembinaan menara pemancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, Isnin.

Menurut Fahmi, pembinaan menara pemancar di kawasan terpencil mengambil masa yang panjang serta berdepan pelbagai cabaran.

“Kita lihat pemasangan menara mengambil masa hampir dua tahun dan banyak masalah.

“Jadi untuk kawasan yang lebih terpencil dan ada penduduk, kita menggunakan strategi yang berbeza kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata ujian Proof of Concept (POC) bagi program Direct-to-Device (D2D) akan dilaksanakan di bawah JENDELA Fasa 2 bagi membolehkan capaian internet satelit disalurkan terus ke telefon bimbit pengguna.

Fahmi turut memaklumkan Inisiatif SALAM, iaitu projek kabel dasar laut yang menghubungkan Sedili, Kuching, Miri, Tanjung Aru, Sandakan dan Tawau.

Katanya, projek berkenaan dijangka menyediakan capaian internet yang lebih pantas dan berpatutan, selain menyokong perkembangan ekonomi digital di Sabah.

“Sebelum ini, landing point adalah di Tanjung Aru berdekatan Kota Kinabalu. Tetapi kita dapati kita perlu memasang kabel dasar laut di pesisir pantai hinggalah ke Tawau.

“Jadi ini satu inisiatif baharu yang kita percaya amat bermakna untuk juga membangunkan ekonomi digital di negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata usaha menangani jenayah dalam talian turut dipertingkatkan susulan pengesanan lebih 2,000 akaun palsu di seluruh negara dalam tempoh lima hingga enam minggu kebelakangan ini.

Menurutnya, akaun berkenaan dipercayai terlibat dalam penyebaran berita palsu, kandungan 3R, penipuan dalam talian dan aktiviti perjudian.

“Angka 2,000 itu adalah bagi seluruh negara, tetapi kita lihat tidak mustahil akaun-akaun palsu juga banyak beroperasi di Sabah.

“Saya telah memaklumkan kepada Tun Musa bahawa pihak MCMC akan melipatgandakan usaha untuk membanteras akaun-akaun palsu, terutama yang dibangunkan atau diwujudkan untuk melakukan aktiviti jenayah dalam talian,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.

— Jabatan Penerangan Sabah

Exit mobile version