
KINABATANGAN: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas disyaki menikam isterinya dengan pisau sehingga meninggal dunia di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perpaduan Datu Ugi, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, dalam kejadian jam 8.55 pagi itu, suspek berusia 75 tahun yang juga warga Filipina itu dipercayai bertindak di luar kawalan kerana marah berikutan masalah rumah tangga yang dihadapi pasangan berkenaan.
Katanya, pihak polis menerima laporan apabila salah seorang anak mangsa menghubungi pihaknya untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, semasa mangsa berusia 65 tahun yang juga warga tempatan berada di ruang tamu rumah, suaminya datang dengan membawa sebilah pisau.
“Suslek secara tiba-tiba menikam mangsa (isteri) di bahagian pangkal leher.
“Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Ravi berkata, bertindak dengan laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan ke tempat kejadian dan berjaya memberkas suspek.
“Sebilah pisau berukuran hampir 35 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Keterangan awal daripada saksi-saksi bebas mendedahkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada konflik perceraian antara mangsa dan suspek,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Duckess Of Kent, Sandakan untuk proses bedah siasat.
“Suspek yang juga seorang penganggur kini ditahan di IPD Kinabatangan dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


Leave feedback about this